Majalah 3 : Misteri Mat Kilau
Oleh
Syanty Octavia Amry
Perjuangan pahlawan Melayu, Mat Kilau
menentang penjajah Inggeris di Pahang pada 1891 sudah termaktub dalam sejarah
negara. Penentangan yang turut dibantu Datuk Bahaman dan Tok Gajah yang juga
bapa Mat Kilau sendiri itu akhirnya tidak dapat merungkai ke manakah
menghilangnya jasad Mat Kilau apabila pelbagai pihak tidak dapat memastikan
tahun bilakah beliau meninggal dunia dan di manakah kubur sebenarnya.
Namun
kemunculan seorang lelaki tua yang mendakwa dirinya Mat Kilau pada 26 Disember
1969 menggemparkan negara disebabkan laporan yang diketahui menyatakan Mat
Kilau sudah lama meninggal dunia akibat dibunuh tentera Siam.
Pelbagai
persoalan dan konflik menerjah pemikiran masyarakat ketika itu yang
mempersoalkan kematian Mat Kilau sehinggalah pada 8 Januari 1970 kerajaan
negeri Pahang mewujudkan sebuah jawatankuasa menyiasat kemunculan semula Mat
Kilau.
Rentetan
itu, bagi mengimbas semula perjuangannya di samping memberi peluang kepada
penonton dan masyarakat untuk membuat penilaian sendiri terhadap kisah Mat
Kilau, sempena Hari Kemerdekaan ke-56 ini, Majalah 3 edisi istimewa bakal
menayangkan kisah Mat Kilau: Sumpah Bahadur di TV3 jam 9 malam ini.
KISAH
Mat Kilau sempena Hari Kemerdekaan.
Memilih
Mat Kilau sebagai ikon, wartawan yang juga penerbit untuk edisi ini, Nurul
Fariha On berkata, Mat Kilau adalah seorang pejuang muda yang harus dijadikan
contoh oleh generasi sekarang.
Lebih
dua tahun membuat kajian sebelum menyiarkannya kepada penonton, wanita yang
mesra dengan panggilan Fariha ini mengakui sedikit tertekan pada awal
menyiapkan projek ini apatah lagi dia bukanlah seorang yang meminati sejarah.
“Sesuatu
yang sukar apabila kita perlu menyiapkan projek yang berkaitan dengan sejarah
pahlawan negara. Banyak tarikh dan fakta yang perlu saya ambil kira malah apa
juga maklumat yang diperoleh saya akan masukkan di dalam projek ini kerana
banyak kisah yang masih tidak dapat dipastikan sejauh mana kebenarannya
sehingga membuatkan cerita Mat Kilau ini sangat misteri.
“Namun
begitu, apa yang saya titik beratkan di sini ialah perjuangan yang dilakukan
oleh Mat Kilau dalam menentang penjajah British serta semangatnya melawan
mereka walaupun ketika itu usianya masih muda.
“Saya
mahu menerapkan sikap dan semangat perjuangan yang perlu dikekalkan oleh
generasi kini dan sikap itu saya lihat ada dalam diri Mat Kilau. Atas sebab itu
saya memilih beliau sempena edisi istimewa Hari Merdeka ini,” katanya.
Dalam
menyiapkan tugasan itu, Fariha turut merujuk kepada Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Muzium Terengganu, Muzium Polis dan
Muzium Tentera selain banyak bertemu dengan orang-orang yang pernah dan ada
kaitan dengan kehidupan Mat Kilau.
“Pelbagai
usaha dilakukan dan saya yakin mereka di luar sana juga tahu kehidupan Mat
Kilau penuh misteri malah kubur sebenarnya juga tidak dapat dipastikan di mana.
Selama kajian saya ada yang mengatakan ia terletak di Pahang dan ada juga di
Thailand selepas beliau dibunuh tentera Siam,” katanya.
Fariha
berkata, projek Mat Kilau: Sumpah Bahadur penuh dengan cabaran namun dia mahu
penonton lebih fokus terhadap perjuangan yang beliau lakukan dalam
mempertahankan negara daripada terus dijajah bangsa asing.
“Soal
bilakah beliau lahir, meninggal dunia dan di manakah makam beliau yang masih
menjadi tanda tanya sehingga kini biarlah masing-masing yang menilaikannya,”
katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/02
No comments:
Post a Comment